Air mata kegembiraan mengiringi kemenangan penyanyi Alyah di Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, semalam.
Pemilik nama sebenar Noor Hasliah Abu Hasan bersyukur penantiannya selama 12 tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air 'dibayar' dengan kemenangan Persembahan Terbaik menerusi lagu "Kisah Hati".
Alyah sempat menyampaikan terima kasihnya kepada peminat menerusi akaun rasmi laman sosial Twitter miliknya.
"Selamat pagi dan salam semua. Pagi yang seindah-indahnya. Syukur pada Allah S.W.T. Terima kasih semua. Doa anda buat saya masih di sini," ujarnya.
Pada malam AJL26, Alyah tampil membuat kejutan dengan persembahan seperti anak patung yang berada di atas kota muzik dengan pakaian gemerlapan serta suara memukau hati penonton.
Ditambah pula dengan kehadiran aktor "Nur Kasih The Movie", Remy Ishak ketika itu menjadikan persembahannya mendapat tepukan paling gemuruh pada malam tersebut.
Alyah sempat berkongsi bahawa dia tidak menyangka bahawa Remy sanggup hadir untuk memberi sokongan kepadanya, mengakui ia bukanlah gimik semata-mata sebaliknya ia adalah rancangan di saat akhir.
"Saya tidak sangka dia akan bersetuju membuat penampilan istimewa untuk lagu ini kerana sudah lama saya mahukan beliau untuk hadir. Walaubagaimanapun saya tidak menerima jawapan daripadanya sehinggalah malam sebelum AJL26 berlangsung, dia mengesahkan kehadirannya demi memberikan sokongan kepada "Kisah Hati"," kata Alyah lagi.
Sememangnya menggemari konsep fantasi wonderland, Alyah akui idea asal serta konsep yang disampaikan melalui persembahannya itu datang daripada dirinya menerusi penyelidikan.
"Alunan piano merupakan tunjang utama bagi lagu ini dan saya gabungkannya dengan kotak muzik yang seringkali kita lihat akan mengeluarkan bunyi tersebut dan berpusing. Itulah yang saya ambil dan bawa ke pentas AJL 26 pada malam tersebut."
Tidak mahu dianggap hanya bertanding sahaja, Alyah memberitahu bahawa komitmen dan usahanya terhadap lagu dan pertandingan ini telah diberikan sepenuhnya dan bersyukur atas kemenangan ini.
Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Manusia Putih ini telah berjaya merangkul kategori Persembahan Terbaik dan membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000.
memang terPUKAU dgn alyah dat nyte . awesome !
ReplyDelete