“Belum ada sesiapa pun datang merisik atau menghantar tanda pada keluarga saya. Saya sendiri pun tak tahu bagaimana cerita itu timbul.”
Demikian kata pelakon popular, Yana Samsudin, 29, ketika mengulas berhubung desas-desus terbaru mendakwa dia sudah bertunang dengan anak kepada seorang tokoh korporat.
Dakwaan itu timbul berikutan tersebar gambar Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin bersama lelaki terbabit di satu majlis anjuran sebuah syarikat korporat di Shah Alam, baru-baru ini.
Sumber yang memberitahu RAP turut mendakwa Yana sudah bertunang dengan jejaka berkulit putih itu dan dijangka melangsungkan pernikahan hujung tahun ini.
Yana bagaimanapun mengakui memang hadir di majlis itu, tetapi menafikan memiliki hubungan istimewa dengan jejaka terbabit.
“Saya antara artis yang diundang untuk memeriahkan majlis berkenaan. Saya sendiri tidak tahu menahu mana orang dapat cerita saya ada hubungan dengan lelaki dalam gambar itu.
“Kami tidak ada apa-apa hubungan istimewa seperti yang digosipkan orang itu. Saya juga tidak ada apa-apa lagi nak komen mengenai perkara itu,” katanya.
Bagaimanapun, kata pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-23 ini, dia berjanji tidak akan merahsiakan hari bahagianya dengan pihak media bila tiba masanya nanti.
“Insya-Allah, kalau ada apa-apa cerita saya nak bertunang atau berkahwin, pasti saya mengundang pihak media untuk merakamkan detik bersejarah itu nanti,” katanya.
Sebelum ini, Yana hangat digosipkan bercinta dengan adik aktor popular Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari.
Namun, Yana menegaskan mereka tidak pernah berbincang soal kahwin walaupun sudah memperkenalkan dengan ahli keluarganya di Yong Peng, Johor dan berkawan rapat, sejak empat tahun lalu.
No comments:
Post a Comment