Wednesday, 25 April 2012
VERSUS TV9 : pujian buat HUJAN
KUMPULAN Hujan mempamer aksi bertenaga apabila muncul pemenang ‘battle’ pertama program realiti Versus dalam saingan membabitkan lima kumpulan popular Malaysia.
Hujan tampil membawa lagu Dugaannya mengatasi lagu Cinta Matiku oleh 6ixth Sense pada saingan Versus minggu kedua yang disiarkan siaran langsung dari Space U8, Shah Alam, malam Jumaat lalu.
Program realiti ini turut menampilkan tiga kumpulan lain seperti Black & Parallax, Go Gerila! diketuai Aizat Amdan dan Sofazr.
Dengan bertemakan rendisi lagu baru dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad, semua kumpulan terbabit menyampaikan lagu disampaikan dengan susunan dan gaya mereka sendiri.
Penilaian dan kritikan terhadap persembahan dilakukan dua juri tetap, Jennifer Thompson serta Loque dan juri jemputan, Fauzi Marzuki.
Persembahan minggu lalu jelas membuat penonton bersorak disebabkan kepelbagaian dan susunan baru lagu Sudirman dibuat oleh setiap kumpulan.
Loque, bekas anggota Butterfingers, terkenal dengan lagu The Chemistry, menyifatkan gaya persembahan vokalis 6ixth Sense, Adi seakan-akan ‘twist’ AC/DC yang penuh bertenaga beraksi di pentas.
Dalam slot selama sejam itu, 6ixth Sense menyampaikan lagu bertajuk Warisan sementara Black & Parallax, lagu Merisik Khabar.
Kumpulan projek baru ditubuhkan, Go Gerila! mendendangkan lagu Mat Disko bersama Aizat selaku pemain keyboard dan penyanyi latar sementara lagu Basikal Tua nyanyian Sofazr tidak kurang hebatnya dengan muzik sedikit ‘berat’.
Selepas memenangi ‘battle’, Hujan sekali lagi mempamerkan kehebatan mereka apabila mendapat reaksi positif juri. Lagu bertajuk Toyol disampaikan dengan penuh bertenaga membuatkan Fauzi Marzuki tersenyum lebar dan mengatakan tidak ‘overdo’, menarik dan tidak mengganggu lagu asal.
Mengulas penyampaian setiap kumpulan terbabit, Fauzi yang pernah berkhidmat sebagai A&R EMI Music berkata: “Pada saya, ada kumpulan menyuntik elemen sesuai lagu Allahyarham. Bagi saya, susunan paling memikat pada minggu kedua adalah lagu Toyol yang dibawakan Hujan kerana secukup rasa dan tidak berlebihan.
“Bagi kumpulan lain, saya rasa tidak perlu terlalu banyak membuat perubahan susunan baru hingga menjadikan lagu disampaikan menjadi lain. Paling penting, mereka mesti menyusun semula lagu mengikut cara dan karakter kumpulan itu. Ada juga kumpulan terlupa membawa melodi lagu terlalu jauh daripada asal hingga membuat lagu menjadi rumit dibawakan.
“Apapun, saya harap mereka mempamerkan persembahan lebih baik pada minggu ketiga yang bertemakan lagu Alleycats.”
Fauzi pernah mengharungi dunia seni bersama Sudirman selama sembilan tahun malah berganding bahu bersama komposer, Michael Veerapan dan pengurus Sudirman, Dharanee Kannan mengiringi beliau merakam lagu One Thousand Million Smiles di Abbey Road Studios, London.
“Setiap kali kumpulan terbabit membuat persembahan, saya akan teringatkan arwah. Sesukar manapun sesebuah lagu dibawa, beliau sentiasa mahu pendengar menerimanya dengan cara paling mudah.
“Sepanjang tempoh itu, saya melihat Sudirman bekerja keras menjadi penghibur Nombor 1 Asia sama ada di pejabat, di studio dan pentas persembahan, beliau tetap Sudirman.
“Terima kasih kerana semua kumpulan memberikan susunan baru mengikut gaya masing-masing,” katanya.
Kata Jennifer: “Lagu Toyol dibawakan Hujan membuat penonton dapat merasakan persembahan. Dengan komitmen 200%, kreativiti masih boleh diperbaiki,” katanya.
Program itu menggunakan format undian khidmat pesanan ringkas (SMS) orang ramai.
Dua kumpulan mendapat undian tertinggi akan bertarung pada ‘battle’ dan membawa pulang hadiah mingguan RM5,000. Juara keseluruhan akan menerima RM200,000.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment