Wednesday, 18 April 2012

JOHAN mahu watak serius

DUDUK berbual dengan pelakon, pengacara dan pelawak ini, lebih banyak ketawa yang kedengaran. Setiap perbualan pasti disulami lawak jenaka yang menggeletek hati. Ada saja bahannya untuk membuat orang sekeliling terhibur dengan keletahnya.

Pendek kata, hidup pemilik nama penuh Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz atau lebih dikenali dengan nama Johan Raja Lawak ini sentiasa ceria dek sifat kelakar yang ada padanya. Justeru tidak hairanlah andai trofi Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 menjadi miliknya.
Kemenangan itu bukan kejutan kerana diakui, Johan memang pelakon komedi yang bagus. Lihat saja bagaimana dirinya menyerlah menerusi program Maharaja Lawak serta pementasan Lawak Ke, Der? yang dijayakannya bersama Zizan di Istana Budaya, bulan lalu.

Itu tidak termasuk gaya penyampaiannya sewaktu mengendalikan program JoHaRa di stesen radio Era.fm setiap pagi, yang memang melucukan. Semua itu mungkin menjadi faktor mengapa trofi yang sebelum ini dipegang Zizan berpindah ke tangannya. Bagaimanapun, tentu tidak ramai yang sedar, bakat Johan bukan terhad pada lawak jenaka semata-mata. Dia juga mampu menjadi seorang yang serius.

“Komedi memang sebahagian daripada hidup saya, tetapi saya juga boleh membawakan watak serius. Namun masalahnya, tiada siapa yang mahu menawarkan watak begitu. Mungkin kerana saya sering tampil dalam program lawak, maka kebanyakan pengarah atau penerbit melabelkan saya sebagai pelakon komedi.

“Entah mengapa, sehingga kini tiada pengarah atau produser berani untuk menawarkan saya watak sedemikian. Sebagai pelakon, saya teringin juga mencuba watak serius, bagi menambahkan warna dalam corak lakonan,” kata pelakon berusia 27 tahun ini.
Biarpun ramai yang mengatakan trofi itu memang layak untuknya, namun kata Johan, dia tidak berangan-angan setinggi itu kerana baginya masih ramai yang layak dan berpeluang memenanginya.

“Justeru, apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang, saya tak tahu nak kata apa. Memang terkejut, lebih-lebih lagi apabila mereka yang dicalonkan bersama saya ialah nama besar, seperti Afdlin Shauki. Apapun, saya tetap anggap Afdlin sebagai sifu dan amat menghormatinya,” kata suami kepada pelakon Ozlyn Wati ini.

Mengulas dakwaan modal lawak jenakanya lebih kepada mengenakan individu, Johan menafikan perkara itu sekeras-kerasnya.

“Bahan lawak jenaka saya bukanlah dibuat tergesa-gesa, tetapi saya rangka terlebih dulu apa yang ingin dikatakan. Kebanyakan idea datangnya daripada akhbar yang saya baca. Dari situ, saya akan olah bahan itu menjadi jenaka.

“Selain itu, idea juga datang ketika saya berada dalam tandas. Ya, di situ saya boleh dapat banyak dapat idea melucukan. Bila idea itu datang, saya akan suruh isteri menulisnya dalam buku, supaya saya tak lupa,” katanya sambil ketawa besar.

Adat mereka yang bergelar popular, pastinya kemenangan itu akan membuatkan status mereka naik setingkat lagi. Dalam erti kata lain, pastinya bayaran yang akan dikenakan selepas menang anugerah akan meningkat. Dijolok pertanyaan cepu emas itu, Johan menegaskan, nilainya masih seperti biasa dan tiada apa yang akan merubahnya.

“Rasanya, setakat ini bayaran yang saya terima cukup setimpal dengan apa yang saya berikan. Dalam soal harga, saya masih boleh berbincang,” katanya berterus terang.

Terdahulu, Johan dan artis naungan Astro lain seperti Aaron Aziz, Zizan dan Hafiz, yang turut menggenggam trodi pada malam kemuncak ABPBH 2011 di Arena of Stars, Genting Highlands, 8 April lalu, diraikan dalam majlis cukup meriah bertemakan Glitz dan Glamor, di Bandar Sunway, malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh; Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan merangkap Pengerusi Bersama ABPBH2011, Hanizam Abdullah dan penerbit filem terkemuka, Datuk Yusof Haslam.

No comments:

Post a Comment