Baru-baru ini aktres Indonesia, Julia Perez telah dilaporkan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Bintang "Kuntilanak Kesurupan" ini merasa bengang kerana khabar tersebut telah disebarkan melalui Blackberry Messenger (BBM) dan mengatakan ia bukan perkara main-main.
Namun Julia bukan artis pertama yang menjadi mangsa khabar angin kematian. Berikut adalah antara beberapa kisah kematian palsu yang berlaku dalam dunia hiburan.
Paul McCartney
Pada tahun 1969, ada desas-desus mengatakan gitaris kumpulan Beatles, Paul McCartney telah maut dalam satu kemalangan kereta dan telah digantikan dengan seseorang yang mirip dengan wajahnya. Khabar angin itu sekadar satu artikel palsu yang ditulis oleh akhbar sebuah kolej, tetapi diambil serius oleh media perdana. Beberapa orang 'pakar' mengatakan ada mesej rahsia dalam beberapa buah lagu Beatles tentang kematian McCartney, malah ada yang masih percaya hal itu memang telah berlaku sampai sekarang!
James Earl Jones
Pada tahun 1998, James Earl Jones telah dilaporkan meninggal dunia dalam satu siaran radio permainan Pittsburgh Pirates. Hal sebenarnya telah diumumkan tidak lama selepas itu, bahawa pihak radio telah terkeliru dengan namanya. Sebenarnya, pembunuh Martin Luther King Jr. yang telah meninggal dunia, dan namanya adalah James Earl Ray.
Milla Jovovich
Pada tahun 1999, Hollywood dikejutkan dengan berita kematian pelakon dan model Milla Jovovich. Namun begitu, tidak lama kemudian, berita sebenar telah dikeluarkan dan sebenarnya ia hanya satu salah faham. Laporan berita telah terkeliru antara nama pelakon filem francais popular "Resident Evil" itu dengan teman wanita pelakon Robert Pastorelli, Charemon Jonovich, yang telah ditemui mati akibat ditembak.
Johnny Knoxville
Bintang "Jackass", Johnny Knoxville dikatakan maut ketika melakonkan lagak ngeri untuk filem lakonannya. Berita tersebut telah tersebar pada tahun 2004 dan banyak spekulasi cara kematiannya telah dibincangkan di internet. Yang anehnya, dua tahun sebelum itu, Knoxville dikhabarkan telah maut ketika melakukan terjunan udara sambil makan sebalang kacang. Ya, apa saja pun mungkin untuk Knoxville!
Michael Jackson
Pada tahun 2004, khabar angin tersebar mengatakan raja pop Michael Jackson telah membunuh diri dengan menelan beratus-ratus pil. Ironinya, kematian Jackson lima tahun kemudian – sekalipun bukan kerana membunuh diri – ia juga disebabkan pengambilan pil berlebihan.
Will Ferrell
Pada tahun 2006, bintang komedi Will Ferrell dilaporkan telah meninggal dunia dalam satu kemalangan paragliding yang tragik. Ferrell dikatakan meninggal dunia akibat pendarahan di kepala dan beberapa tulang yang patah. Berita palsu tersebut telah tersebar di seluruh Hollywood apabila laman sesawang iNewswire melaporkannya. Namun demikian, pembawa berita palsu tersebut tidak berjaya ditemui. Ketika berita tersebut dilaporkan, Ferrell sebenarnya berada di Montreal untuk projek filem terbarunya.
Jeff Goldblum
Pada tahun 2009, ramai yang dikhabarkan telah meninggal dunia termasuk pelakon Natalie Portman dan penyanyi pop tahun 80-an Rick Astley. Dengan kematian dua legenda, bintang Michael Jackson dan pelakon Farrah Fawcett, pelakon "The Switch", Jeff Goldblum juga dilaporkan meninggal dunia oleh siaran Channel Nine News, Australia. Pelakon tersebut dilaporkan maut selepas terjatuh dari gunung di New Zealand. Rakan pelakon itu, Kevin Spacey memberitahu orang ramai bahawa Goldblum tidak mati seperti yang dikhabarkan dan meminta semua orang untuk tidak mempercayai berita tersebut.
Britney Spears
Selain daripada Goldblum, permulaan era kematian palsu melalui Twitter pula mula menjadi satu masalah besar. Akaun Twitter Britney Spears telah digodam dan penggodamnya telah mengeluarkan pengumuman bahawa penyanyi terkenal itu telah meninggal dunia. Pengumuman itu berbunyi, "Britney telah mati hari ini. Hari yang menyedihkan untuk semua orang. Berita selanjutnya akan menyusul."
Lee Hyo-ri
Pada bulan November 2011, penyanyi Korea Selatan dan bekas ahli kumpulan Fin.K.L., Lee Hyo-ri dikhabarkan telah meninggal dunia dan disebarkan melalui laman Twitter. Isi gurauan Twitter tersebut mengatakan "Lee Hyo-ri ditemui tidak bernafas di rumahnya" (dalam bahasa Korea, ia membawa maksud berbeza sekiranya tidak dibaca dengan teliti). Lee merasa amat marah dengan penyebaran khabar angin tersebut dan mengatakan kematian bukan sesuatu yang patut diguraukan.
Kang Ho-dong
Selepas penyanyi Lee Hyo-ri menjadi mangsa gurauan Twitter yang melampau itu, berita kematian pelawak dan hos terkenal Korea, Kang Ho-dong pula tersebar luas di laman tersebut. Desas-desus tersebut menggunakan ayat yang sama, mengatakan Kang Ho-dong ditemui mati di rumahnya. Ramai yang merasa marah dengan penyebaran isi Twitter tersebut memandangkan ketika itu Kang sedang keadaan berduka atas skandal berkenaan cukai yang sedang dialaminya.
Cut Tari
Pada bulan November 2011, aktres yang dikaitkan dengan skandal penyebaran video lucah bersama vokalis kumpulan Peterpan, Ariel, Cut Tari dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani penggambaran di Jakarta. Berita kematian Cut Tari menimbulkan kekecohan di kalangan peminatnya di Indonesia yang mahu mengetahui perkembangan lanjut serta punca kematiannya. Bagaimanapun, satu akaun Twitter yang dinamakan sebagai Cuttarytweet memaklumkan bahawa berita itu tidak benar. "Cut Tari dalam keadaan sihat dan tiada sebarang masalah berlaku. Dia sedang menjalani penggambaran untuk satu rancangan televisyen di Jakarta," katanya. Kenyataan itu kemudian disahkan akaun pengurusan Cut Tari @icontalentmgmt yang menyatakan aktres itu sihat, manakala berita yang disebarkan adalah palsu.
Azean Irdawaty
Artis Malaysia juga menjadi mangsa Twitter. Selepas dikejutkan dengan dengan berita pemergian penyanyi Izwan Pilus ke rahmatullah, dunia perfileman tempatan dikecohkan dengan berita kematian primadona Azean Irdawaty melalui rangkaian sosial tersebut. Namun berita itu hanyalah hebohan palsu semata-mata. Berita itu dinafikan oleh anak beliau sendiri melalui akaun Twitter-nya. Anak Azean Irdawaty juga sempat memuat naik gambar ibunya bergambar dengan sebiji oren dan memberitahu peminat yang ibunya mengucapkan Gong Xi Fa Chai.
No comments:
Post a Comment