Sunday, 17 June 2012

IRMA HASMIE nikah 29 Jun ini



Selepas tiga bulan mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hati, Reza Syah Azmeer Datuk Mohd Redzuan, pelakon Irma Hasmie bakal mendirikan rumah tangga dengannya pada 29 Jun ini.

Dipetik daripada sebuah portal hiburan tempatan, Irma yang ketika ini sedang menunaikan umrah di tanah suci Mekah berkata buat masa ini dia telah menghentikan segala aktiviti seni bagi memberi laluan untuk mengerjakan umrah serta membuat persiapan akhir majlis perkahwinannya.

"Alhamdulillah, persiapan akhir dari segi fizikal semuanya saya sudah usahakan mana yang terdaya sebelum berangkat ke Madinah. Manakala yang lain, saya serahkan kepada kedua-dua belah pihak keluarga dan tunang saya.

"Kahwin adalah satu fitrah manusia dan sebagai khalifah juga hamba Allah, kita kena memahami apa itu perkahwinan. Biar niat kita kerana Allah dan yang penting, bukan persiapan perkahwinan semata-mata tetapi kehidupan apabila berumah tangga adalah untuk mencari kebahagiaan dan keberkatan daripadaNya," jelas Irma.

Irma juga memanjatkan rasa syukur kerana mempunyai rakan-rakan produksi yang sudi membantu menyelesaikan persiapan terakhir.

Ketika ditanya tentang bakal suaminya, pelakon berdarah kacukan Pakistan dan Cina ini menjawab bahawa segala jodoh dan ketentuan adalah daripada Allah SWT dan dia menerima dengan hati terbuka.
"Bukan saya yang memilih Reza, tetapi Allah mempertemukan kami di Mekah. Subhanallah, saya sangat bersyukur dengan anugerah yang diberikanNya dan keluarga Reza juga dapat menerima saya seadanya lalu merisik saya," ujarnya lagi.

Majlis pernikahan Irma, 30, dan Reza, 31, bakal diadakan pada 29 Jun ini di Dewan Persidangan Putrajaya, jam 3 petang. Manakala majlis resepsi akan berlangsung di MAEPS, Serdang pada hari yang sama, jam 8 malam.

Irma bakal menyarungkan busana rekaan pereka fesyen Hatta Dolmat dan untuk majlis persandingan pula, dia akan mengenakan persalinan rekaan Ezuwan Ismail.

Irma dan Reza bertemu buat pertama kalinya ketika berada di hadapan Kaabah sewaktu menunaikan umrah pada 14 Februari lalu. Pertemuan itu akhirnya membawa kepada majlis pertunangan yang berlangsung di kediaman Irma pada 29 Mac lepas.

Sebelum ini Irma pernah menjalinkan hubungan dengan pelawak terkenal, Nabil Ahmad selama tiga tahun sebelum putus di tengah jalan pada 2010.

No comments:

Post a Comment